Tuesday, October 16, 2012

Kief's Story @ HRS bab 2

Kinokuniya, KLCC


            Emalin Adura menoleh ke kanannya sebaik sahaja mereka tiba di pintu premis kedai buku yang menjadi kegemaran mereka selama ini. Tangan kanan dihulurkan bersama sengihan di bibir. Khilfi Arami yang lebih senang dipanggil dengan nama Kief itu merenung anaknya penuh makna. Dua keping not lima puluh dihulurkan kepada Emma. Melihat reaksi Emma, dia hanya ketawa. Dia tahu jumlah itu terlalu kecil untuk menampung selera gila membaca mereka.
            “ Tengah bulan. Faham-faham ajelah. Kalau sanggup makan pasir nanti, ayah tambah. Lagipun pesta buku kat PWTC haritu, berapa banyak Emma angkut. Macam mana?  Sanggup nak makan pasir?” soalnya penuh makna. Emma hanya mencebik dan pantas menggeleng. Sungguhpun minat membacanya mengatasi segala-galanya namun dia masih belum sanggup untuk makan pasir semata-mata memenuhi keinginan yang satu itu.
            “ Ayah nak beli apa-apa tak?” soalnya berniat mahu berkongsi bajet. Serba-salah juga mengenangkan perbelanjaan yang dia habiskan semasa berlangsungnya pesta buku Antarabangsa tiga minggu sudah. Kief menggeleng. Kalau mahu pun, dia mahu mencari majalah solusi keluaran terbaharu bulan ini.
            “ Kakak nak ke bahagian novel kejap ek?” Emma meminta izin dan Kief hanya mengangguk. Dia duduk di salah sebuah kerusi kayu yang sememangnya tersedia untuk pengunjung melepak dan menghilangkan lelah. Dari jauh dia melihat Emma yang ketika ini sudah pun terkepung di dalam dunianya sendiri. Dunia buku. Dia tidak pernah menghalang ataupun menyekat minat Emma membaca.
Walaupun bacaan ringan seperti komik mahupun novel popular, dia akan membenarkan. Malah dia juga akan turut sama membaca, sekadar ingin berkongsi minat yang sama dengan anaknya. Jika Emma teruja dengan sesuatu kisah ataupun cerita, tidaklah dia terpinga-pinga tidak faham apa yang diceritakan. Sudahlah kini semakin banyak dengan gejala novel cabul ketika ini, lagilah dia terpaksa memantau bahan bacaan Emma. Sungguhpun dia sudah menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup anaknya, namun naluri dan keinginan remaja juga boleh menjadi bahaya jika terlalu dibiarkan. Jadi, adalah lebih baik dia mengambil langkah berjaga-jaga.
“ Kief?” tegur satu suara mengejutkan dia. Kief segera berpaling dan melihat wanita yang menegurnya itu.
“Intan?” Dia terbangun dari duduknya. Terkejut apabila melihat Intan di situ. Dan dia melihat beg yang dibawa oleh Intan. Universal Traveller. Dahinya berkerut ketika memandang wajah di hadapannya. Intan mahu ke mana?
“ Sorang aje ke? Emma mana?” soal Intan sambil menjenguk mencari Emma di dalam Kino.
“ Kat dalam. Biasalah dia. Kalau dapat buku, semua orang dia boleh lupa,” terangnya sambil menjeling barangan ‘shopping’ wanita itu sekali lagi.
“ Intan nak ke mana? Trip ke oversea ke?” duganya tenang, tidak mahu kedengaran terlalu mendesak. Mendengar pertanyaannya itu, dia melihat wajah Intan berubah. Rasa pelik Kief semakin meningkat. Kenapa begini sekali reaksinya? Dia membuka mulut mahu bertanya, namun suara Emma mematikan niatnya untuk bertanya.
“ Auntie Intan? Wah...lama tak nampak,” tegur Emma sambil memeluk rapat wanita itu. Intan membalas pelukan namun di dalam hati dia sedang bertenang sebaik mungkin. Dia tidak mahu kedua manusia yang rapat dengannya ini dapat membaca sesuatu melalui tingkahlakunya.
“ Auntie sihat? Kenapa lama betul tak datang rumah?” Emma terus menerus bertanya tanpa menyedari pergolakan hebat yang sedang dihadapi wanita di hadapannya ini. Intan tersenyum nipis menjawab segala pertanyaan. Matanya melirik memandang Kief seperti mengharapkan sesuatu. Kief yang sedar akan keadaan itu, segera menarik Emma ke sisi.
            “ Ada masa? Jom kita minum dulu?” pelawanya mencari ruang untuk cuba menyelesaikan apa sahaja masalah yang membelenggu jiwa wanita itu. Intan yang mendengar semakin kalut. Tidak! Dia tidak mahu duduk duduk dan minum bersama mereka ini. Tuhan...tolonglah. Jangan bebani dia dengan rasa bersalah ini. Disangkakan dia mampu pergi dengan senyap. Keadaan akan lebih mudah jika mereka tidak tahu apa yang sedang dirancangkannya semenjak sebulan yang lalu. Dia akui, kerenggangan mereka selama ini adalah berpunca daripada dirinya sendiri. Dia yang bersalah. Dialah punca segala-galanya. Dia yang sengaja menjauhkan diri kerana dia tahu andainya mereka tahu...Intan menutup mata sesaat. Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi. Suka dan gembira itu adalah perasaan terakhir yang akan mereka rasakan.
            “ Intan? Kenapa ni?” Kief sudah tidak dapat mendiamkan diri lagi. Kelakuan Intan benar-benar kelihatan begitu janggal pada penglihatannya. Intan tidak pernah seperti ini. Tidak pernah sediam ini. Dahulu, gelak dan suara Intan, dari jauh sudah dapat didengarinya namun kini, seperti ada insan lain yang telah mengambil alih tubuh wanita yang dikenali hampir sepanjang hayatnya itu. Dia menoleh ke kiri apabila terasa Emma menyentuh lengannya perlahan. Kerutan di dahi anak daranya itu menunjukkan mereka mempunyai pandangan yang sama. Pasti! Ada sesuatu yang tidak kena.
            “ Maafkan aku. Maafkan aku,” ucap Intan bertalu-talu apabila tiba-tiba sahaja seorang jejaka Inggeris menghampiri mereka. Tanpa memperkenalkan siapa gerangan lelaki itu, Intan terus berbisik sesuatu. Beberapa saat kemudian, mereka kembali bertiga.
            “ Kief...” Intan memanggil pasrah. Rahsia sudah tidak boleh menjadi rahsia lagi. lambat laun mereka akan tahu juga.
            “ Kief,” ulangnya lagi seperti menunggu satu kuasa yang mampu meresapkan semangat dan kekuatan untuk berhadapan dengan keadaan itu.
            “ Aku akan ke Perth hujung minggu ni.” Akhirnya dengan keserba salahan Intan meluahkan juga. Kief mengangguk. Dia sendiri sudah dapat mengagaknya. Lebih-lebih lagi melihat kehadiran lelaki Inggeris itu. Sementara Emma sudah melonjak teruja.
“ Wah! Auntie nak pergi holiday tak ajak kakak pun,” rajuk Emma sambil mulut sudah semakin muncung. Intan menggosok kepala Emma dengan penuh kasih. Buat seketika dia lebih rela berhadapan dengan Emma daripada menghadapi mata helang Kief yang begitu tajam merenungnya semenjak tadi.
“ Nanti sampai sana, bila Auntie dah settle semua benda, dan kalau ada cuti sekolah, Auntie Intan hantar tiket pada Emma ya. Boleh datang lawat Auntie Intan kat sana nanti. Ok?” Kata-katanya itu menyebabkan dahi Emma semakin berkerut.
“ Gaya macam nak pindah duduk sana aje,” duga Emma sambil ketawa. Kalau hendak menunggu cuti sekolah, mereka terpaksa menunggu lebih kurang enam bulan lagi. Lamanya Auntie Intan mahu bercuti di Perth. Sementara Kief sudah seperti disambar petir apabila dia sudah dapat membuat kesimpulannya sendiri. Buat kesekian kali, matanya tajam mencari mata Intan. Dia mahukan penjelasan. Mata mereka bertemu dan Kief beristigfar panjang. Intan tidak main-main. Mata itu tidak berbohong.
“ Kau bukan nak pergi bercuti?” Kief menyoal walaupun jawapan sudah ada di depannya. Dia mahu mendengar sendiri daripada mulut Intan.
“ Kau betul-betul nak pergi,” duganya lagi tanpa menunggu jawapan daripada empunya tubuh sendiri. Intan mengangguk lemah.
“ Lelaki Inggeris tadi, namanya Peter. Aku dah nikah dengan dia tiga hari lepas. Kami buat keputusan untuk menetap di kampung halaman Peter memandangkan kontraknya dengan UIA dah tamat.” Intan menjelaskan. Dia menunggu dengan penuh debar reaksi daripada kedua mereka. Dia sedar mungkin agak payah kedua anak beranak ini menerima keputusannya setelah kejutan demi kejutan dilemparkan ke arah mereka. Kief kelihatan agak keliru dan marah namun Emma hanya mendiamkan diri. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Intan mencemuh diri sendiri dalam diam. Dia tidak pernah berniat mahu melukakan hati mereka.
“ Apa kena ni Intan. Peter mana pula ni? Selama ni aku tak pernah dengar kau sebut pun nama lelaki tu, dan sekarang kau...kau...” Kief kematian kata-kata. Kalau mahu diikutkan hati, mahu sahaja dia mengoncang kuat tubuh Intan dengan harapan tindakannya itu mampu menyedarkan Intan dari lena.
“ Kau memang tak berniat nak beritahu kami kan? Kalau kita tak terserempak tadi, kau tentu akan pergi senyap-senyap sajakan? Apa...kami akan dapat poskad dari kau saja dan kau ingat keadaan akan berubah?” Kief berterusan menyoal. Kepalanya hampir pecah memikirkan tindakan Intan yang dianggapnya tidak bertanggungjawab itu.
“ Aku ingat keadaan akan lebih mudah jika aku pergi dulu. Aku tahu kau dengan Emma tak akan menyokong...”
Damn right, aku dan Emma tak akan sokong kalau ini yang kau buat. Macam mana dengan Arin? Ada kau fikir fasal dia? Macam mana dengan Arin, Intan? Kau nak tinggalkan dia begitu saja?” Tanpa sedar nada suara Kief bertukar tinggi. Emma di sisi menggenggam lengannya dengan lebih erat. Mungkin mahu menyedarkan di mana mereka berada ketika ini.
Kepala Intan kian menunduk sebaik sahaja mendengar Kief menyebut nama itu. Dia malu. Sesungguhnya memang benar dia malu kerana mengambil keputusan begitu namun dalam diam dia terpaksa akui, dia harus memikirkan dirinya juga. Telah lima tahun dia berkorban untuk Arin dan kini tibalah masa untuk Arin berkorban untuk dia.
  Doktor cakap Arin tak akan pulih Kief. Kau kan tahu keadaan dia macam mana.”
“ Kau tak tahu benda ni betul ke tidak. Doktor bukan Tuhan, Intan. Hidup mati kita bukan terletak pada tangan dia. Dia boleh kata apa saja tapi....” Kef bersuara, cuba memujuk. Dia masih menaruh harapan yang tinggi yang satu hari nanti Arin akan kembali sembuh seperti biasa. Seperti Arin yang dia dan mereka semua kenal dahulu.
Intan menggeleng pantas. “ Dah lima tahun Kief. Lima tahun kita menunggu. Lima tahun kita bersabar dan menanti namun keajaiban yang kita tunggu tu sampai sekarang belum ada lagi. Arin masih tetap macam tu jugak. Aku manusia Kief. Aku juga ada keinginan dan impian aku sendiri. Sampai bila aku harus korbankan segala-galanya?” Dia menyoal perlahan mengharapkan agar Kief faham akan tindakan yang diambilnya ini. Namun ternyata kata-katanya itu menyebabkan Kief semakin berang dengannya.
 Kief memang marah. Dia benar-benar tidak menyangka itu yang keluar dari mulut temannya  ini. Dia merapatkan jarak antara mereka, sekaligus menyebabkan Intan berundur setapak ke belakang. “ Damn it Intan. She’s your sister.  Kau nak tinggalkan dia macam tu aje? Macam mana kau boleh...? Macam mana kau sanggup...?” Kata-katanya mati di situ. Dia beristighfar dalam hati. Kalau hendak diikutkan hati, dah lama tangannya naik ke muka Intan. Dia cuba bertenang sebaik mungkin. Tidak guna dia memujuk rayu kerana dia yakin walau apa pun yang dilakukan, Intan tetap dengan keputusannya. Kief meraup wajah. Tiba-tiba terasa bahunya teralas satu tanggungjawab yang cukup besar.
“ Pergilah,” ucapnya perlahan sekaligus merelakan pemergian Intan walaupun hati tetap keberatan.
“ Kief?” Intan memohon kepastian. Dia hairan kenapa tiba-tiba sahaja Kief boleh berubah sikap menjadi sebegini tenang. “Aku..aku..” kata-katanya mati di situ. Sesungguhnya dia tidak mempunyai apa-apa alasan yang boleh mengubat hati kedua insan yang nampaknya begitu terluka dengan keputusannya ini. Sementara Kief mengangkat tangannya. Menahan Intan dari terus berkata-kata. Semuanya tidak berguna lagi.
“ Pergilah Intan. Kalau Arin menghalang kau selama ni ...tinggalkan dia. Capailah impian kau tu. Biar aku jaga dia. Biar aku yang terus mendoakan dia.”
“ Kakak pun sama ayah. Biar kita yang jaga acik Arin...” Emma menyokong kata-kata ayahnya. Air mata yang mengalir sedari tadi dikesat perlahan. Sedih dia mengenangkan Acik Arin yang terlantar di hospital ketika ini. Entah mengapa, ketika ini ingin sekali dia terbang ke sana menatap wajah polos Acik Arin...ingin dia khabarkan kepada wanita itu supaya jangan takut dan bimbag. Walau apa pun yang terjadi, dia dan ayah akan tetap berada bersama Acik Arin.
Kief masih berdiri di tempat yang sama 10 minit kemudian. Walaupun Intan sudah lama berlalu pergi namun dia tidak berdaya untuk memulakan langkah lagi. Emma terus setia berada di sisinya. Kief merangkul bahu Emma dah tubuh itu dibawa rapat ke dadanya.
“ Kesian Acik Arin kan, ayah?” Ujar Emma sambil mendongak memandang ayahnya. Kief hanya mampu mengangguk sambil memejam mata.
“ Jangan risau...kita akan jaga Acik Arin sampai bila-bila. Biar semua orang tinggalkan Acik Arin, tapi dia tetap ada kita...” tekadnya bersungguh-sungguh. Emma hanya mengangguk mengiakan.

Wednesday, October 19, 2011

“ Emma!” jeritnya sambil terjun dari katil. Dalam kelam kabut kakinya tersadung selimut yang berselirat lalu tersungkur ke lantai. Kief mengaduh kesakitan. Kaki kiri yang tercium dengan kaki katil digosoknya pantas. Mulut terkumat kamit menyumpah katil yang tidak berdosa itu. Mata yang mengantuk terus segar bugar jadinya apabila melihat jam di tangan. Matilah! Dia dah lambat sangat ni. Macam mana hendak menghantar Emma lagi. Sudahlah haluan mereka saling bertentangan. Memang sah minggu ini merah lagi punch cardnya. Dalam kelam kabut dia mencari jam loceng yang sememangnya sudah disetkan pada pukul 6 pagi itu.
Namun jam pemberian Emma itu tiada di tempat biasa. Matanya sempat merayap ke segenap ruang bilik. Dan seperti yang diduga, hadiah Emma itu sudah menjadi arwah rupanya. Jam loceng berwarna hitam putih itu berkecai di sudut bilik. Kief terpana sebelum menggeleng kepala. Dia terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersolat. Lambat pun lambatlah. Hendak buat macam mana. Yang penting, kewajipan yang satu itu tidak akan sesekali ditinggalkan walau apa jua keadaannya.
Beberapa minit kemudian, dia keluar dari bilik dan terus menuju ke dapur. Selalunya Emma akan menantinya di situ. Tetapi langkahnya mati apabila melihat dapur yang selalunya cerah pada waktu ini masih lagi gelap gelita. Mana Emma? Tak bangun lagikah? Dahinya berkerut sambil berlari semula ke tingkat atas. Pintu bilik Emma dikuak perlahan. Tepat seperti yang di duga, Emma sedang enak berbaring di atas tilamnya. Kief pantas memasuki bilik itu. Lampu dibuka dan langsir yang tertutup dikuak sehingga pancaran cahaya pagi menyinari bilik yang sederhana besar itu.
“ Emma? Bangun. Apa fasal tidur lagi ni?” Tubuh Emma dikejutkan dengan kuat. Emma diam tanpa memberi respon.
“ Emma bangunlah. Dah lambat ni,” gesanya lagi. Hairan kenapa payah benar dia hendak mengejutkan Emma. Sedangkan dia tahu telinga Emma sensitif pada sebarang bunyi. Emma demamkah? Dia pantas merasa dahi insan yang masih terbujur itu namun, biasa sahaja. Tidak demam.
“ Emma bangun..sembur dengan air karang,” ugutnya sambil tersengih apabila melihat Emma menurunkan selimutnya.
“ Hari ni kan cuti. Yang pakai baju kerja ni nak pergi mana?” rungut Emma apabila melihat dia lengkap dengan uniformnya. Zapp! Kepala Kief diam mencerna maklumat yang baru diterimanya. Cuti? Dia melihat jam di tangan dan menepuk dahi. Aiseh! Macam mana boleh lupa. Hari ini sememangnya cuti. 1 Mei. Cuti hari pekerja. Aduhai..penat sahaja dia kelam kabut bersiap. Emma pun satu. Dia merenung wajah Emma dengan tidak puas hati.
“ Apa fasal tak cakap. Penat je siap,” soalnya sambil mencampakkan tubuh di atas tilam Emma. Dapat sambung tidur memang best ni.
“ Kan dah cakap semalam. Apa kes cuti pun orang nak kena ingatkan?” Emma merenung wajahnya. Masam sahaja air muka Emma bila tidurnya diganggu. Kief hanya mencebik bibir. Kerek pula Emma ni. Mereka mendiamkan diri beberapa minit sebelum Kief menyiku perlahan Emma yang sudah mula lena kembali.
“ Emma...Emma,” panggilnya separuh berbisik.
“ Tak dengar...dah tidur balik,” balas Emma sambil menarik selimut menutupi wajahnya.
“ Laparlah. Jom keluar makan,” pujuk Kief lagi apabila perutnya sudah mulai berbunyi.
“ Roti gardenia ada kat dapur.”
“ Dah berkulat. Tak boleh makan dah,” balasnya pantas. Sekali lagi Emma membuka selimutnya.
“ Ngantuklah. Makan ajelah apa yang ada kat dapur tu.”
“ Kejap lagi sambunglah tidur balik. Jomlah...teh tarik pak Don menunggu tu,” Kief cuba mengumpan Emma.
“ Tak mau! Tak tertarik pun.” Emma menggeleng walaupun sebenarnya terliur juga mengenangkan teh tarik pak Don yang sememangnya lazat dan enak itu. Kief bangun dari katil.
“ Tak nak ikut sudah. Ingat nak ajak pergi MPH sekali. Kena makan roti kulat pun roti kulatlah,” gumam Kief perlahan. Emma yang mendengar ayat MPH itu kembali tegak. Dengan pantas dia berlari membuka pintu menahan Kief yang sudah mula menuruni anak tangga. Dia melaung kuat.
“ Abah, tunggu. 10 minit. Kakak nak ikut.” Di pertengahan anak tangga Kief hanya tersenyum mengenangkan anak daranya yang seorang itu.

 

Monday, August 8, 2011

Kief's Story 1





Apa yang anda bayangkan apabila melihat gambar-gambar di atas?
Secara jujurnya, saya sudah tidak sabar mahu bergelumang dengan manuskrip ini tetapi saya tahu saya lebih senang bermula ketika jimmy sudah tiba dinoktah akhirnya. Sesungguhnya dalam menulis saya tidak pantai sambil menyelam minum air..Kalau saya buat juga alamat..lemaslah saya....
so...anda rasa citer Kief ini kisah yang bagaimana ya?

Thursday, August 4, 2011

Makluman

Salam.....


Harap maklum....masih tiada entri di rumah ini. InsyaALLAH Kief's story adalah projek yang seterusnya selepas Jimmy.