Wednesday, October 19, 2011

“ Emma!” jeritnya sambil terjun dari katil. Dalam kelam kabut kakinya tersadung selimut yang berselirat lalu tersungkur ke lantai. Kief mengaduh kesakitan. Kaki kiri yang tercium dengan kaki katil digosoknya pantas. Mulut terkumat kamit menyumpah katil yang tidak berdosa itu. Mata yang mengantuk terus segar bugar jadinya apabila melihat jam di tangan. Matilah! Dia dah lambat sangat ni. Macam mana hendak menghantar Emma lagi. Sudahlah haluan mereka saling bertentangan. Memang sah minggu ini merah lagi punch cardnya. Dalam kelam kabut dia mencari jam loceng yang sememangnya sudah disetkan pada pukul 6 pagi itu.
Namun jam pemberian Emma itu tiada di tempat biasa. Matanya sempat merayap ke segenap ruang bilik. Dan seperti yang diduga, hadiah Emma itu sudah menjadi arwah rupanya. Jam loceng berwarna hitam putih itu berkecai di sudut bilik. Kief terpana sebelum menggeleng kepala. Dia terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersolat. Lambat pun lambatlah. Hendak buat macam mana. Yang penting, kewajipan yang satu itu tidak akan sesekali ditinggalkan walau apa jua keadaannya.
Beberapa minit kemudian, dia keluar dari bilik dan terus menuju ke dapur. Selalunya Emma akan menantinya di situ. Tetapi langkahnya mati apabila melihat dapur yang selalunya cerah pada waktu ini masih lagi gelap gelita. Mana Emma? Tak bangun lagikah? Dahinya berkerut sambil berlari semula ke tingkat atas. Pintu bilik Emma dikuak perlahan. Tepat seperti yang di duga, Emma sedang enak berbaring di atas tilamnya. Kief pantas memasuki bilik itu. Lampu dibuka dan langsir yang tertutup dikuak sehingga pancaran cahaya pagi menyinari bilik yang sederhana besar itu.
“ Emma? Bangun. Apa fasal tidur lagi ni?” Tubuh Emma dikejutkan dengan kuat. Emma diam tanpa memberi respon.
“ Emma bangunlah. Dah lambat ni,” gesanya lagi. Hairan kenapa payah benar dia hendak mengejutkan Emma. Sedangkan dia tahu telinga Emma sensitif pada sebarang bunyi. Emma demamkah? Dia pantas merasa dahi insan yang masih terbujur itu namun, biasa sahaja. Tidak demam.
“ Emma bangun..sembur dengan air karang,” ugutnya sambil tersengih apabila melihat Emma menurunkan selimutnya.
“ Hari ni kan cuti. Yang pakai baju kerja ni nak pergi mana?” rungut Emma apabila melihat dia lengkap dengan uniformnya. Zapp! Kepala Kief diam mencerna maklumat yang baru diterimanya. Cuti? Dia melihat jam di tangan dan menepuk dahi. Aiseh! Macam mana boleh lupa. Hari ini sememangnya cuti. 1 Mei. Cuti hari pekerja. Aduhai..penat sahaja dia kelam kabut bersiap. Emma pun satu. Dia merenung wajah Emma dengan tidak puas hati.
“ Apa fasal tak cakap. Penat je siap,” soalnya sambil mencampakkan tubuh di atas tilam Emma. Dapat sambung tidur memang best ni.
“ Kan dah cakap semalam. Apa kes cuti pun orang nak kena ingatkan?” Emma merenung wajahnya. Masam sahaja air muka Emma bila tidurnya diganggu. Kief hanya mencebik bibir. Kerek pula Emma ni. Mereka mendiamkan diri beberapa minit sebelum Kief menyiku perlahan Emma yang sudah mula lena kembali.
“ Emma...Emma,” panggilnya separuh berbisik.
“ Tak dengar...dah tidur balik,” balas Emma sambil menarik selimut menutupi wajahnya.
“ Laparlah. Jom keluar makan,” pujuk Kief lagi apabila perutnya sudah mulai berbunyi.
“ Roti gardenia ada kat dapur.”
“ Dah berkulat. Tak boleh makan dah,” balasnya pantas. Sekali lagi Emma membuka selimutnya.
“ Ngantuklah. Makan ajelah apa yang ada kat dapur tu.”
“ Kejap lagi sambunglah tidur balik. Jomlah...teh tarik pak Don menunggu tu,” Kief cuba mengumpan Emma.
“ Tak mau! Tak tertarik pun.” Emma menggeleng walaupun sebenarnya terliur juga mengenangkan teh tarik pak Don yang sememangnya lazat dan enak itu. Kief bangun dari katil.
“ Tak nak ikut sudah. Ingat nak ajak pergi MPH sekali. Kena makan roti kulat pun roti kulatlah,” gumam Kief perlahan. Emma yang mendengar ayat MPH itu kembali tegak. Dengan pantas dia berlari membuka pintu menahan Kief yang sudah mula menuruni anak tangga. Dia melaung kuat.
“ Abah, tunggu. 10 minit. Kakak nak ikut.” Di pertengahan anak tangga Kief hanya tersenyum mengenangkan anak daranya yang seorang itu.